Alkisahnya aku terdengar live Kak Kay di Facebook semasa bulan puasa 2018 haritu berkenaan berbakti pada syurga di saat mereka masih lagi hidup. Syurga si isteri pada suaminya. Syurga si anak pada ibu bapanya.
Kak Kay menyentuh perihal ‘memberi’. Iya, memberi untuk lebih banyak menerima. Teori rezeki bukannya seperti formula matematik; 1-1=0. Teori rezeki yang mutlak adalah dari Allah; 1-1=10 dan bahkan 100. Senang faham, lagi banyak kita memberi lebih banyak rezeki bertandang. Itu janji Allah.
Kerana itu, Islam menganjurkan untuk kita banyak bersedekah. Bersedekah untuk membuka lebih banyak pintu rezeki kita. Lagi afdal seandainya kita memberi pada Syurga kita dulu.
Kata-kata Kak Kay buat aku terfikir sendiri. Sepanjang 2 tahun bekerja, aku tak pernah hadiahkan Umi sesuatu yang betul-betul istimewa. Aku anggap umi faham yang aku masih tak mampu. Tapi, sampai bila nak berkira dengan syurga aku sendiri.
‘Hadiahkan mereka sesuatu yang istimewa. Kalau nak hadiahkan handbag, pilih handbag yang mahal. Kalau nak hadiahkan capal, pilih capal yang paling berkualiti dan selesa. Kalau nak hadiahkan telefon bimbit, pilih yang paling elok. Bukan setiap bulan pun berhabis duit untuk mereka. At least, satu yang kita hadiahkan tu, buat mereka ingat sampai bila-bila.’
Tanpa berlengah, sehari sebelum balik kampung aku ke Butik Siti Khadijah. Janggal gila kot sebab aku tak pernah masuk kedai orang ‘ada-ada’ ni. Nak belek kain pon aku janggal. Takut terkotor, terjatuh, te’rosak’ semua ada.
Kain dia terbaik. Sejuk, selesa, lembut. Kualiti tiptop. Memang puas hatilah. Aku pilih yang coraknya sederhana dan tak terlalu berat. Harganya RM 150. Walaupun itu yang paling murah, kualiti kainnya memang sama. Yang berbeza hanya pada eksklusif taburan coraknya. OK, dah selesai membeli.
Saat nak bagi kat umi tu paling berdebar. Dalam kepala dah karang macam-macam ayat puitis. Tapi aku tahu, aku takkan ikut punya. Last-last yang keluar dari mulut aku:
Umi, ni hadiah untuk umi. Doakan kak murah rezeki deh.
Jawapan pendek padat umi sentiasa buat aku tersentuh
Terima kasih. Umi sentiasa doa untuk anak-anak. Tak pernah putus.
Ya Allah, semoga dengan asbab aku hadiahkan umi telekung ni, Engkau redha akan aku.
![]() |
| Semoga Umi dalam jagaan-Nya |

Comments
Post a Comment